Latest Post :
Home » , » Abby Fana selesa sendirian

Abby Fana selesa sendirian

{[['']]}



STATUSNYA sebagai ibu tunggal kepada dua anak tidak semudah dijangka, apatah lagi gelaran itu digalasnya sejak 16 tahun lalu.

Bagaimanapun bagi Habshah Omar atau lebih dikenali sebagai Abby Fana, segala pahit manis perjalanan itu memberinya warna kebahagiaan.

Rambut sama hitam, hati siapa tahu. Coretan hidupnya atas apa jua yang berlaku ditelan sebagai ketentuan Ilahi. Tidak langsung segala bebanan itu dipancarkan pada wajah mahupun karakternya sebagai figura awam.

Abby Fana tetap terkenal sebagai wanita yang penuh dengan personaliti yang disenangi serta bijak bergurau.

Namun jauh untuk mengalah, penyampai radio Sinar FM ini tetap gigih meneruskan hidupnya berbekalkan niat yang satu – ikhlas mencari rezeki untuk membesarkan anaknya.

Kini dia mampu tersenyum melihat anak sulungnya, Mohd Afiq Nazrin, 19, melanjutkan pengajian muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Begitu juga si bongsu, Mohd Adli Nazrin, 18, juga menuntut di institusi sama di Melaka dalam jurusan Seni Reka.

“Hidup ini ibarat gelanggang perlawanan, yang mana kita yang mencongak jalannya. Begitu juga dengan saya yang mungkin tersilap atau terlepas pandang sehingga adanya kegagalan.

“Apa yang terjadi bukan sesuatu yang dirancang. Bagaimanapun saya lebih selesa menganggap ia satu ketentuan buat saya meskipun ibarat segelas racun yang perlu disedut.

“Saya akur dan terima sebaik mungkin bukan saja untuk diri saya, malah untuk dua zuriat saya yang banyak memberi inspirasi dan sokongan,” katanya yang turut mengacarakan Malaysia Hari Ini di TV3.

Selebriti berusia 43 tahun ini bagaimanapun tidak terfikir untuk menamatkan status ibu tunggalnya. Sebaliknya isu kerjaya dan komited terhadap anak membuatkan perasaan itu langsung tiada.

“Terus terang saya katakan, saya tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti. Bukan terlalu memilih atau tiada keserasian, sebaliknya rasa janggal untuk mula sekali lagi.


“Tempoh saya hidup sendirian membesarkan anak adalah terlalu panjang dan itu cukup memberi keselesaan selama ini.

“Saya akur jodoh dan rezeki adalah ketentuan-Nya, namun kita sebagai insan perlu berusaha ke arah itu. Sebaliknya saya tidak meletakkan usaha atau mencari alternatif seperti bersosial.

“Saya lebih selesa duduk di rumah dan meluangkan masa dengan anak. Merekalah teman saya dan itulah hidup buat saya selama ini. Malah kami anak-beranak banyak lakukan aktiviti bersama seperti bercuti, membeli-belah dan ke gimnasium.

“Bagaimanapun bila mereka tinggal di asrama, baru rasa sunyi itu datang. Malah kini saya lebih banyak kelapangan untuk melakukan aktiviti sendiri.

“Jadi kawan yang banyak membawa saya ke pusat kecantikan, refleksologi dan karaoke. Baru sekarang saya kembali ke zaman muda semula,” katanya.

Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger