Latest Post :
Home » , , , , , , » Usop Wilcha Hangatkan Slot Pagi Hot FM

Usop Wilcha Hangatkan Slot Pagi Hot FM

{[['']]}
http://www.gosipsensasi.co.cc
  Usop Wilcha popular setelah usia hampir mencecah setengah abad


KEBANYAKAN orang berpendapat, mereka yang hendak memulakan kerjaya seni pada usia yang lewat sukar untuk popular. Hanya artis muda yang cantik dan tampan saja mampu pergi jauh dan menjadi perhatian peminat.
Namun apa yang terjadi kepada Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail, 46, agak berbeza. Dia yang terkenal dengan watak Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) baru hendak 'berasa' popular setelah usia hampir mencecah setengah abad.
Tahun ini, mungkin tahun lelaki yang dikenali dengan nama Shy8 ini. Namanya tiba-tiba meletup gara-gara filem arahan Mamat Khalid itu. Kemunculannya pada acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini menambahkan lagi rencah populariti kepada anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.

Sejak kemunculannya berkerusi roda bersama Johan Raja Lawak membawa keputusan Bintang Paling Popular, Shy8 atau Usop tidak semena-mena menjadi popular, gerakan tangan dan ayat 'Kita Bakor' yang diucapnya menjadi ikutan. Begitulah besarnya impak Usop Wilcha kepada Shy8. Sedangkan 15 tahun yang lalu, dia pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian, tetapi mungkin pada ketika itu rezeki masih belum berpihak padanya.

Selepas kemunculan dalam ABPBH lalu, dia mula menerima pelbagai undangan daripada stesen televisyen dan radio. Masing-masing berebut-rebut mengundang Shy8 menjayakan program mereka. Mungkin mereka berpendapat, pengaruh artis ini kepada penonton sangat besar.



                   Usop Wilcha bersama Faisal dan Fara di konti Hot FM.

Dek kerana Usop Wilcha juga, rezekinya bertambah murah apabila dia dilamar pula stesen radio Hot FM untuk memeriahkan lagi slot Hot FM Am Krew yang kini sudah pun mempunyai tiga penyampai iaitu Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.
Bermula esok, suara Shy8 akan mula berkumandang di stesen radio Hot FM menemani pendengar setia stesen berkenaan. Sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka oleh bapa kepada seorang cahaya mata ini apabila dilamar sebuah stesen radio popular.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk dikenali pada usia yang begini lewat. Banyak perkara yang tiba lewat dalam hidup saya. Mungkin Allah sengaja hendak menduga kerana dia mahu saya matang terlebih dulu, sebab itu Dia kurniakan populariti setelah saya berusia. Malah saya juga berkahwin pada usia yang lewat. Perkahwinan saya baru berusia tiga tahun.




"Rezeki untuk dikenali, Allah yang aturkan, cuma saya perlu berbaris menunggu giliran. Apabila peluang itu tiba, saya tidak harus persiakan. Allah sudah membuka jalan untuk saya, jadi saya perlu gunakan sebaiknya. Saya mengaku amat terkejut apabila popular secara tiba-tiba.

"Saya akan bersedia dengan perjalanan yang bakal dilalui. Apa pun badai yang menimpa, saya kena tempuh. Saya tidak mahu menjadi insan yang cepat mengalah. Kita harus berjalan, kemudian baru kita nampak apa yang menanti di hadapan," kata Shy8 yang mengakui menerima tawaran daripada Hot FM bukan untuk mengejar kemasyhuran.

Jika benar dia gilakan glamor, kata Shy8, sudah tentu dia tidak fikir panjang dengan menerima saja tawaran daripada tiga produser filem yang menjanjikan watak utama kepadanya. Namun, tidak mahu dirinya terlalu terkehadapan, Shy8 menolak ketiga-tiga tawaran berkenaan. Lagipun kata Shy8 dia suka bercakap, jadi tawaran sebagai penyampai radio umpama pucuk dicita ulam mendatang.

'Mereka serius hendakkan saya'

SELAIN Hot FM, Shy8 mengakui turut menerima tawaran daripada beberapa stesen radio lain, tetapi mereka tidak memberikan sebarang kata putus, tidak seperti stesen radio milik Media Prima ini yang benar-benar menunjukkan kesungguhan untuk melamarnya.

"Hot FM melamar saya kira-kira sebulan yang lalu. Selepas berfikir masak-masak mengenai peluang yang hanya datang sekali seumur hidup ini, saya bersetuju menerima tawaran mereka. Memang sudah lama saya impikan untuk bergelar DJ, jadi apabila mendapat tawaran ini kenapa tidak saya mencuba saja.

"Lagipun Hot FM serius mahukan saya. Bila lagi saya nak dapat peluang bergandingan dengan Faizal, Fara dan AG? Saya juga tidak mahu tawaran yang hanya sekadar cakap kosong. Hot FM pula, selepas beberapa sesi pertemuan, saya nampak kesungguhan mereka untuk mendapatkan saya.

"Walaupun peminat tak dapat melihat wajah saya, sekurang-kurangnya melalui Hot FM mereka boleh mendengar suara saya. Saya akan berkongsi pelbagai pengalaman saya bersama peminat. Mungkin saya perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru ini. Maklumlah saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penyampaian radio sebelum ini. Bagaimanapun saya yakin dengan sokongan teman seperjuangan, insya-Allah saya dapat menyesuaikan diri dalam tempoh seminggu dua ini," kata Shy8.

Dia yang bertugas sebagai Pengurus Kanan, Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Tanjung Offshore Berhad ini tidak menganggap Hot FM cuba mengambil kesempatan di atas popularitinya untuk menarik kembali pendengar Hot FM Am Krew. Shy8 menganggap tiada istilah ambil kesempatan, sebaliknya kedua-dua pihak saling memerlukan atau dalam erti kata lain, menang-menang.

Biarpun sudah semakin meniti puncak populariti, Shy8 tidak akan sesekali melepaskan jawatan tetapnya di Tanjung Offshore. Malah dia menyifatkan dirinya amat beruntung apabila majikan memberikan kelonggaran kepadanya untuk meneruskan minat dalam dunia seni. Majikannya tidak menetapkan untuk dia berada di pejabat setiap masa, sebaliknya 10 hingga 15 jam di pejabat dalam seminggu sudah memadai.

Dia hanya akan berada di pejabat sekiranya dikehendaki majikan terutama apabila perlu bertemu dengan pelanggan penting. Jika tidak, segala tugasnya akan diserahkan kepada pembantu.

Tidak rasa tergugat

KEHADIRAN Usop Wilcha tidak dirasakan sebagai cabaran buat dua nama terkenal slot pagi ini. Malah mereka menyambut kehadiran Shy8 dengan tangan terbuka. Bagi Faizal dan Fara, mungkin sudah tiba masanya slot pagi Hot FM diberikan suntikan lebih segar untuk memantapkan lagi stesen berkenaan.
Walaupun semakin ramai penyampai, mereka tidak bimbang soal siapa akan lebih menonjol kerana dengan adanya perancangan yang berkesan, perkara itu tidak akan terjadi.

Lagipun kata mereka, di luar negara, bukan sesuatu yang asing bagi stesen radio apabila sesebuah segmen dikendalikan lima hingga enam penyampai pada satu masa.

"Saya menganggap kehadiran Usop Wilcha di dalam slot pagi akan menyuntik sesuatu yang lebih segar kepada segmen ini. Saya dan Fara sudah lima tahun mengendalikan segmen ini, dan macam-macam perkara sudah kami lakukan. Dengan kehadiran Usop, peminat mungkin boleh mendengar sesuatu yang baru. Kita memang memerlukan satu suntikan berbeza supaya peminat boleh terus setia bersama kami.

"Program luar negara seperti American Idol turut melakukan kelainan kepada programnya selepas beberapa tahun. Apatah lagi kami yang didengar oleh pendengar setiap pagi, lagilah perlu mencari kelainan supaya pendengar akan terus setia. Kita tidak boleh anggap orang baru sebagai pencabar, buat apalah hendak berdengki," kata Faizal.

Bagi Fara pula, sebagai satu-satunya bunga di situ, dia tiada masalah untuk menonjol. Bagaimanapun dari segi peluang untuk bercakap pula, mereka akan berbincang mengenai cara terbaik bagi memastikan setiap penyampai mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

"Dulu kami hanya berdua, jadi tiada masalah siapa yang akan bercakap dulu dan siapa bercakap kemudian. Tetapi apabila sudah ada empat orang, kami kena rancang siapa yang akan bercakap dulu supaya tidak kelam kabut," kata Fara. 
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger