Latest Post :
Home » , , » 'Ombak Rindu' Mampu Pungut RM8 Juta

'Ombak Rindu' Mampu Pungut RM8 Juta

{[['']]}


                  Peneraju utama 'Ombak Rindu' Aaron Aziz dan Maya Karin.

Filem cinta kembali mendapat tempat di hati peminat

SEBELUM ini, filem arahannya kurang mendapat tempat di hati peminat apabila pungutan di pawagam kurang memberangsangkan. Namun, apabila dia tampil bersama garapan terbaru yang diangkat daripada novel tulisan Fauziah Ashaari, Ombak Rindu, ia menjadi bualan hangat peminat.

Maka tidak hairan apabila filem keluaran Tarantella Pictures dan Tayangan Unggul itu berjaya memungut kira-kira RM4 juta selepas empat hari tayangan. Ia sebuah pencapaian yang dilihat begitu cemerlang buat sebuah judul dalam genre drama.

melihat sambutan hebat diberikan kepada filem lakonan Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani itu, Osman Ali berasakan, tidak mustahil filem terbabit mampu mencatat pungutan lebih tinggi - RM8 juta, selepas dua minggu tayangan.


Barisan pengarah,penerbit dan pelakon filem Ombak Rindu pada malam gala filem tersebut baru-baru ini.


Dan, jika sambutan memberangsangkan terus diterima, tidak mustahil juga ia bakal muncul filem drama cinta dengan pungutan terbesar dalam sejarah filem Melayu.

Malah, maklum balas yang diterimanya mengenai filem yang mula ditayangkan pada 1 Disember itu daripada penonton amat membanggakan dirinya sebagai seorang pengarah dan berpuas hati kerana dapat mengembalikan filem bergenre romantik kepada penonton.

“Saya tidak menjangka langsung mengenai kutipan yang dilakukan filem ini, malah melihatkan pada tajuk filem itu sendiri yang kurang nilai komersialnya membuatkan saya takut untuk mengarahkan filem ini.
“Selepas membuat kajian mengenai novel terbabit yang mendapat sambutan hangat pembaca, saya tanamkan tekad dalam diri untuk memberikan lebih lagi kepada penonton, terutama pembaca setia Ombak Rindu,” katanya.

Gagal meraih kutipan tinggi bagi filemnya sebelum ini, Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Cun, Osman melihat filem terbarunya memberi perubahan kepada industri perfileman tempatan.

Meskipun penerbit filem kini ghairah menerbitkan filem bergenre seram dan aksi, namun cubaan Osman untuk menghasilkan filem bergenre romantik nyata membuahkan hasil.

“Saya memang suka mengarah filem bergenre sebegini, tetapi sebelum ini saya tidak berpeluang berbuat demikian. Apabila diberi peluang oleh penerbit, saya cuba beri yang terbaik.

“Pelbagai pandangan yang saya terima mengatakan filem ini lebih bagus daripada novel, manakala bagi yang pernah membaca novel ini pula mengatakan ada plot yang tidak sampai seperti dalam novel,” jelasnya.


Biarpun pelbagai kritikan dan komen yang diterima, Osman memandang dari sudut positif dan beranggapan setiap komen dan kritikan itu menunjukkan keprihatinan penonton terhadap filemnya itu.


                                        Babak kontroversi dalam 'Ombak Rindu'.

“Saya rasa penonton sudah mula menunjukkan minat terhadap filem bergenre sebegini kerana bagi yang pernah membaca novelnya, mungkin akan teruja untuk menonton tetapi bagi yang tidak pernah membaca novel berkenaan, mereka beranggapan ia sebuah filem yang menarik.

“Saya buat filem untuk semua golongan tak kira muda atau tua, malah hati saya rasa tersentuh apabila melihat pasangan berusia 50 tahun ke atas datang menonton filem ini,” katanya.

Berasakan sudah tidak ada lagi filem Melayu bergenre sedemikian, Osman berhasrat untuk terus mengarahkan filem romantik dan mengembalikan penceritaan yang pernah mendapat perhatian penonton suatu ketika dulu.

Begitupun Osman juga tidak melupakan genre lain apabila mengarahkan Jiwa Taiko, sebuah lagi genre aksi, selepas melakukannya menerusi Anak Halal.

Filem yang membariskan pelakon Bront Palarae dan Diana Danielle itu kini menjalani proses pasca produksi dan dijangka akan menjengah ke pawagam pertengahan tahun depan.

“Dulu saya pernah buat filem aksi tetapi tidak berhasil dan kali ini saya cuba lagi. Saya buat filem untuk kepuasan penonton dan apabila penonton berpuas hati dengan karya saya, itu satu kebanggaan buat diri saya.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran bagi filem saya, tetapi lebih mementingkan kepuasan penonton. Sebagai seorang pengarah kalau karya kita dihargai dan diterima penonton itu sudah cukup memberi kepuasan,” terangnya.
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger