{[['']]}
KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 penonton yang hadir ke konsert TWIN Towers@live 2010 di taman Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat.
Kebanyakannya begitu 'histeria' ketika kemunculan kumpulan pop dari Korea, Wonder Girls dan kumpulan rock dari Amerika, Hoobastank.
Konsert percuma sempena sambutan 'Malaysian Grand Prix' bermula pukul 8 malam itu dimulakan dengan persembahan artis tempatan iaitu Yuna, The Azenders dan Bunkface yang turut menjadi tumpuan ramai.
Selepas artis tempatan membuat persembahan masing-masing, pada pukul 10.30 malam, ramai penonton yang memekik nama wonder girls.
Sementara menanti kemunculan kumpulan itu, hos Aishah sinclair dan Will Quah menemubual penonton dan memberikan cenderamata sempena konsert tersebut.
Beberapa minit selepas itu, kemunculan lima wanita yang terdiri dari Sun-Ye, Yu-Bin, Ye-Eun, Hye-Rim dan So-Hee membuat ramai yangbersorak riang.
Antara lagu yang dinyanyikan oleh Wonder Girls adalah Two Different Tears, So Hot, Tell Me dan No Body.
Kehadiran Wonder Girls menjadi kegilaan para peminat tidak mengira usia.
Lebih-lebih apabila mereka menyebut perkataan 'we love you all (kami sayang kamu semua)', lagi bertambah sorakan penonton.
Penulis sempat berbual dengan peminat kumpulan itu dari Kerinchi, di sini yang menghafal setiap tajuk lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan tersebut.
Begitu juga dengan sepasang penonton berasal dari Korea Selatan yang bekerja di sini selama tiga tahun yang menarik perhatian penulis.
Mereka begitu terhibur dan tidak segan menari ketika menonton persembahan kumpulan yang berasal dari negara asal mereka itu.
Menjelang 11.30 malam, baru Hoobastank muncul dengan mendendangkan lagu popular mereka seperti The Reason, Crawling in the Dark, Running Away dan beberapa lagu baru mereka.
Biarpun bilangan penonton semakin berkurang, suasana meriah tetap kedengaran di tambah dengan bunyi bingit muzik daripada kumpulan rock itu.
Konsert ini berlangsung selama dua malam sehingga Sabtu, 9 April.
Antara artis yang akan menghiburkan penonton pada hari kedua adalahJoe Flizzow, Mizz Nina, Colby O'Donis dan Earth, Wind and Fire dengan gabungan penyanyi lagenda AL McKAY.
Penonton dinasihatkan untuk menaiki kenderaan awam kerana Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee akan ditutup pada pukul 7 malam hingga 1 pagi semasa konsert tersebut berlangsung.
Sempena konsert tersebut, RapidKL akan memanjangkan waktu perjalanan kemudahan LRT, Monorail dan bas sehingga pukul 1.30 pagi pada Jumaat dan Sabtu.
Post a Comment