{[['']]}
PANJANG berjela dan berpintal-pintal jika hendak diurai satu-persatu. Begitulah tafsiran kepada corak-corak sensasi yang mewarnai pelangi diri Rozita Che Wan.
Di sebalik delima yang merekah di bibir dan lirik ekor matanya, pasti banyak alasan yang melintas ke fikirannya.
Mungkin itulah yang dikatakan pesona. Bercampur pula pesona itu dengan banyak cerita kontroversi, termometer wanita ‘solo’ beranak dua itu memuncak lagi.
Kali ini, bukan isu bersara, mahupun kahwin atau skandal dengan orang kenamaan tetapi kisah hatinya bersama jejaka muda, Shahir AF8 yang galak diperkatakan.
Puas mengelak dan cuba menafikan, Rozita dan Shahir tidak boleh lari daripada hakikat. Realitinya, mereka memang ada hubungan cinta.
Segalanya dengan kemunculan Rozita sebagai artis jemputan untuk program Akademi Fantasia (AF).
“Walaupun dia sudah keluar daripada AF, hubungan baik kami sehingga sekarang,” canda Rozita sambil mengakui bahawa Shahir kini ada tempat sebagai teman yang akrab. Lebih tepat lagi, lelaki yang paling dekat di hatinya.
Mereka saling kenal hati dan budi tetapi untuk mengakui bercinta, hakikat itu sangat peribadi untuk dikongsi.
“Antara saya dan Shahir, kami ada komunikasi yang baik. Biasanya perbualan kami banyak berkisar tentang perkembangan diri dan dunia seni.
“Mungkin ada pihak yang boleh menerima secara terbuka dan mungkin juga ada yang tidak gemar dengan hubungan baik kami,” ungkapnya yang tidak kekok dengan jurang usia berbelas tahun antara mereka.
Percuma sahaja, ibu kepada Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 13, ini juga mendapat satu lagi jolokan. Sesuatu yang keras dan sedikit kejam untuk diterima apabila ada yang melabel Shahir, sebagai lelaki belaan Rozita Che Wan.
“Sumpah saya tidak pernah berfikiran atau menjaja cerita sebegitu, kalau ada yang bertanya dalam nada bergurau, saya mungkin berseloroh dan ketawa sahaja,” ungkap Rozita lagi.
Tidak mampu menutup cerita tetapi daripada membiarkan orang berkata-kata, Rozita berkongsi rasa, siapa Shahir dari kaca matanya.
“Shahir seorang yang sangat merendah diri, dia juga berasal dari kampung seperti saya, gemarkan makanan kampung macam saya.
“Jadi, mentaliti kami hampir sama. Walaupun usianya muda, kami boleh bertukar pendapat atas aras yang sama,” ujarnya dalam lenggok yang mahu difahami.
GILA RAMBUT
Dalam bab solekan, bulu mata palsu itu wajib. Dalam sebulan juga, jarang benar wajahnya dibiarkan polos tanpa solekan kecuali hari bertapa di rumah tanpa penggambaran.
“Bila saya gemarkan bulu mata, pembayang mata tak perlu sangat. Untuk keluar bersantai-santai pun saya tetap bersolek rapi. Saya paling cerewet bab rambut. Kena berdandan betul-betul paling kurang sejam untuk rambut, sejam untuk solekan.
“Tapi saya bukan jenis yang gemar ke salun rambut,” katanya yang cuba memastikan gaya rambutnya berbeza setiap kali muncul di kaca televisyen.
SAYANGKAN PETUA
Tidak lama berbual, bibirnya meletus menegur minuman yang sedang laju terjun ke kerongkong penulis.
“Eh, tak elok minum air kelapa nanti urat-urat jadi kembang. Untuk orang perempuan, air kelapa elok diminum hanya ketika hamil,” dia mengomel tentang petua.
Cantik luaran, penjagaan dalaman si pinggang ramping itu penulis tanyakan.
Selain tidak minum air kelapa sejak berbelas tahun, banyak petua lain yang menjadi amalan Rozita.
“Orang selalu kata saya pakai susuk bila saya tak suka makan sate, macam itu juga bila saya tak langkah longkang. Sebenarnya, longkang itu ada benda-benda kotor, jadi tak elok dilangkah takut benda-benda tak baik sampai kepada kita.
“Tapi, pantang lepas bersalin paling penting. Saya berpantang bab makan minum selama setahun. Setahun juga tak boleh kena hujan, tak makan makanan berkacang. Nak mandi pun ada pantang,” katanya yang mengalami sakit kepala jika menjamah nasi dalam sehari.
FAMILI NOMBOR SATU
Menjadi ibu tunggal kepada dua anak remaja, ada masanya Rozita serba-salah dengan jadual penggambaran yang tidak mengira waktu.
“Tambahan pula bila mereka sudah tidak lagi tinggal di asrama, saya serba-salah bila kena kerja hari Sabtu atau Ahad, nasib baik emak saya tinggal bersama, boleh tengok-tengokkan mereka. Saya cuba untuk tidak berlakon sampai lewat pagi atau hujung minggu. Bukan diva tetapi saya juga mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu,” ujarnya yang berbicara hanya hal anak-anak bersama bekas suaminya.
Ujar Rozita mengaku dalam polos dirinya, dia selalunya tidak akan berkawan atau berbaik dengan lelaki yang yang pernah menjalin hubungan dengan dirinya. “Alergilah bekas-bekas ni,” ketawanya tidak mengelak.
KARIER MEMUNCAK
Baru disunting sebagai jurucakap Safi Rania Gold untuk kontrak dua tahun, perjalanan lakonan pelakon yang popular dengan watak Kiah Pekasam ini boleh dikatakan sedang memuncak. Lima tahun dalam arena seni, Rozita yang dikatakan mahu bersara ini pernah disensasikan sebagai dramatis yang mahal bayarannya.
Sedang muncul dengan Iparku Diva di Astro, Mata Ayer (TV3) serta Cikgu Kemisah Kirby (RTM), jadual drama Diari Summer Camp sedang menanti Rozita untuk penggambaran awal Mei.
“Berlakon adalah periuk nasi saya. Saya bersyukur dengan tawaran yang ada. Lucu juga bila selalu dapat watak emak-emak tapi respons paling baik untuk karakter tersebut sewaktu saya berlakon Diari Ramadan Rafiq,” ujarnya yang tidak menolak akan berhenti berlakon jika sampai jodoh satu hari kelak.-kosmo
Post a Comment