{[['']]}
DIA cuma tersenyum dan anak matanya bersinar-sinar tatkala memberikan jawapan berbasa-basi. Begitulah respons spontan yang selalu diberikan aktor berkarakter, Zul Huzaimy Marzuki, 33, setiap kali diterjah soalan status rumah tangganya dengan Nor Dalilah Muhammad, 29.
Paling tidak, dia akan berpeluk tubuh, tersenyum kemudian merayu, usahlah diungkitkan cerita 'dalam kain.' Sebagai lelaki, Zul yang bergelar Pengetua Rumah Aktor Seniman itu bijak untuk menutup pekung di dada.
Ternyata, senyum dan keramahannya itu perisai gudang rahsianya, namun, kenyataan Dalilah kepada sebuah portal hiburan akhirnya mengesahkan segala-galanya.
Zul dan Dalilah sah bercerai talak dua pada 1 Julai tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor. Mereka pernah bercerai sekitar 2008 tetapi rujuk tidak lama kemudian.
Masih mahu membenamkan kisah kegagalan itu daripada bacaan umum, lelaki yang sudah lapan bulan menduda itu akhirnya sudi berkongsi sedikit rasa. Dia bercakap tentang sikapnya yang banyak mengunci mulut, kenakalan sendiri yang dikatakan menjadi punca berputus ikatan dan kebebasan kembali bergelar orang bujang.
SENSASI BINTANG: Sudah hampir lapan bulan bercerai, dan perkara itu didedahkan bekas isteri, mengapa Zul memilih untuk berdiam diri?
ZUL HUZAIMY bersama anaknya, Awal Haziq dan bekas isteri Nor Dalilah.
ZUL HUZAIMY: Bila sudah bercerai untuk apa perlu kecoh-kecoh. Benda sudah jadi.
Masih ada peluang untuk berbaik-baik?
Hubungan kami masih baik dan peluang (untuk rujuk semula) itu masih ada cuma, saya dan Dalilah sudah sepakat mahu membawa haluan masing-masing. Dalam hidup, kita dituntut mencari kehidupan lebih baik, kalau berbaik itu lebih baik, kami pilih untuk berbaik-baik tapi kalau bercerai itu juga untuk kebaikan bersama, kami kena teruskan. Soal anak juga tidak menjadi masalah, sekarang dia bawah jagaan bekas isteri dan tiada halangan kepada saya untuk menemuinya bila-bila masa.
Kata bidalan, sudah terhantuk baru tengadah, Zul sendiri bagaimana?
Perceraian boleh membuatkan saya menjadi lebih matang, sedar bahawa hidup bukannya mudah, susah sebenarnya. Bila sudah terjadi perkara sebegini, masing-masing kena fikir apa hikmah disebalik kejadian.
Pernah timbul rasa bersalah atas perceraian yang berlaku?
Biarlah jawapan itu saya simpan dalam hati sahaja. Mungkin kami sudah ditakdirkan begini, sudah tersurat jodoh kami setakat itu, jadi saya reda.
Keluar dari dunia lakonan yang nakal dan banyak sisi hitam, ramai mendakwa Zul sebenarnya nakal?
Saya biasa sahaja (sebagai lelaki itu normal).
Post a Comment