Latest Post :
Home » , , , » Semoga Kisah Ameng Spring Menjadi Iktibar Kepada Semua

Semoga Kisah Ameng Spring Menjadi Iktibar Kepada Semua

{[['']]}
http://www.gosipsensasi.co.cc



SEBAB nila setitik rosak susu sebelanga, sebab dadah durjana, keluarga penyanyi popular bernama Ameng ini berdepan situasi yang perit. Semoga kisah Ameng, penyanyi kelahiran Besut, Terengganu ini menjadi iktibar kepada semua kerana setiap manusia itu tidak pernah sempurna kejadiannya.

BENARLAH, melepaskan insan tersayang untuk berdepan sebuah hukuman itu terlalu perit. Pedihnya sampai tidak tergambar oleh kata-kata. Mungkin, hanya individu terpilih sahaja diberikan ujian sebegitu dan mampu menangani saat itu.
“Sampai akhir hayat saya sekalipun, saya akan tetap tunggu Ameng. Sebusuk-buruk mana sekalipun dan sejahat-jahat mana sekalipun, dia tetap suami saya, bapa kepada anak saya, Haikal. Dia suami dan bapa yang baik,” itu kata-kata seorang isteri yang masih menebal traumanya.
Sebaknya dapat dikesan walaupun penulis sekadar berhubung di talian telefon. Tangisnya bermula seawal khabar dirinya, penulis usulkan. Dia Sabariah Zakariah, 41, seorang isteri dan ibu yang sedang teruji di segenap penjuru.
“Saya kenal Ameng sejak 1992. Dia tidak jahat seperti sangkaan sesetengah pihak, dia tidak jahat. Jahat sangatkah dia sampai begitu sekali hukuman yang diterima,” rintihnya dalam nada yang tersekat-sekat, bagai tangis yang basah bersiram di setiap urat darah.
Tambah Sabariah, Ameng berpesan, supaya dia selalu ingatkan anak mereka, Wan Amar Haikal.
“Selalu ingat dan kenal akan ayahnya. Pesanan Ameng juga, supaya saya kerap memutarkan apa sahaja klip video karaoke lagu-lagu nyanyian Ameng ketika bersama Spring mahupun solo.
“Dia juga pesan, supaya saya tidak terlalu memikirkan tentang dirinya, takut memudaratkan saya pula. Kalau datang melawatnya di Penjara Kluang, Johor, tolong bawa Haikal bersama,” kata Sabariah.
Hari-hari kelam Sabariah bermula seawal dia dan Ameng ditangkap pada 1 Februari lalu di sebuah hotel di Taman Melaka Raya berikutan tuduhan memiliki dadah.
Sejak saat itu, lebih dua bulan mereka merengkok di dalam penjara di Sungai Udang, Melaka dan dipisahkan oleh dua blok bangunan yang berbeza.
Pada Rabu lepas, Ameng dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan oleh mahkamah. Ameng mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan bahan itu ke dalam badannya pada awal Februari lalu. Dakwaan ke atas Sabariah digugurkan, dan dibebaskan daripada sebarang hukuman.
“Sehari sebelum keputusan dibacakan, peguam ada datang berjumpa saya. Katanya, saya mungkin akan dibebaskan jika Ameng membuat pengakuan atas semua dakwaan.
Serik hidup di penjara
“Ameng rela hati mahu mengaku bersalah supaya dia yang menanggung segala hukuman. Dia reda dan mahu saya bebas untuk terus menjaga amanah kami (anak). Dia tak mahu melibatkan saya dan anak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya tapi setidak-tidaknya, saya sudah kenal perit hidup dipenjara. Dua bulan saya terkurung, terpinga-pinga dan menanggung sengsara yang amat sangat, rindukan anak dan suami. Perasaan dalam penjara itu sangat berlainan.
“Itu baru dua bulan, inikan pula untuk tempoh selama lapan tahun. Saya boleh bayangkan azab yang akan ditanggung Ameng tambah lagi dengan 10 sebatan. Saya tahu, dia bukan jenis yang kuat,” luah Sabariah.
Bukan merintih merayu simpati, jauh sekali meminta bantuan, Sabariah hanya mahukan pengertian. Dia juga tidak sedih atau terkilan. Sepanjang kes berjalan, tiada seorang pun rakan atau pihak dalam industri hiburan yang muncul bertanya khabar. Sampai ke tahap itu, hinanya mereka di mata umum.
“Ameng sudah reda, dia juga pesan supaya saya jangan berdendam dengan sesiapa, jangan menidakkan kerja pihak media, jangan marah jika dicemuh masyarakat. Saya reda dengan semua ini. Selepas saya dibebaskan, hanya Iskandar, salah seorang bekas ahli kumpulan Spring yang berhubung dengan saya. Dia yang banyak memberi sokongan. Saya hargai sangat sesiapa yang hubungi saya bertanyakan khabar,” katanya yang kini menetap bersama anak dan keluarga di Melaka.
Nasib ada keluarga serta kawan-kawan yang memberi sokongan dan setelah hampir seminggu dibebaskan, wanita itu masih tidak ke mana-mana, tidak mampu untuk bertemu sesiapa.
“Saya jadi takut untuk jumpa orang. Nak tengok akaun Facebook pun takut. Pantang duduk seorang, pasti menangis,” katanya yang sudah memasang tekad untuk pulih daripada sejarah hitam.
Tutup perbualannya, doa Sabariah, biarlah Ameng tenang menadah hukuman dunia.
“Semoga dia tenang dan sentiasa mengingati Tuhan,” ungkapnya perlahan.-kosmo
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger