Latest Post :
Home » , , , » Ida Nerina Dan Shahrin Sah Bercerai Talak Satu

Ida Nerina Dan Shahrin Sah Bercerai Talak Satu

{[['']]}



PETALING JAYA: Aktres popular, Ida Nerina dan suami, Shahrin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pada Isnin.
Sumber yang dihubungi mStar Online memberitahu, perceraian dibuat selepas pasangan tersebut mencapai persetujuan untuk meleraikan ikatan perkahwinan yang terjalin selama empat tahun secara baik.
“Shahrin melafazkan cerai dengan talak satu pada pukul 10 pagi, Isnin pada prosiding mahkamah yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi,” kata sumber.
Permohonan perceraian tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sumber juga memberitahu, pelakon filem Susuk dan Anak itu bersetuju menerima nafkah edah RM1,000 sebulan untuk tiga bulan dan nafkah mutaah RM10,000 daripada Shahrin.
Pada prosiding itu, Ida diwakili oleh peguam syarie Akbardin Abdul Kader manakala Shahrin, bekas anggota kumpulan Blackrose diwakili peguam syarie Hamzah Abdul Latif.
Perkahwinan yang dilangsungkan pada 2 Jun 2006 merupakan perkahwinan kedua bagi Ida dan Shahrin atau nama sebenarnya, Sha’arin Mohd Razali.

Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata manakala Shahrin mempunyai dua orang anak, Narissa, 14, dan Arman, 8, dari perkahwinan pertamanya.
Perceraian ini berlaku lebih enam bulan selepas mahkamah sama memutuskan bahawa pasangan itu masih sah bergelar suami isteri apabila menolak permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku di luar mahkamah.
Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Shahrin kerana mendakwa dia telah melafazkan cerai terhadap pelakon kelahiran Middlesex, England tersebut pada Hari Raya Aidilfitri kedua, 22 September 2009.

Berdasarkan keterangan bersumpah Shahrin di mahkamah pada 13 April lalu, dia mengakui ada melafazkan cerai selepas bertengkar dengan tenaga pengajar Akademi Fantasia musim ketujuh itu.
Dakwanya lagi, lafaz itu berbunyi “baiklah, saya ceraikan kamu” tanpa menyebut bilangan talak dibuat pada kira-kira pukul 11 pagi, di bilik tidur rumah yang terletak di Metropolitan Square, Bukit Damansara Perdana.
Shahrin juga memberitahu, telah mengarahkan pembantu rumah untuk mengemaskan barang dan telah keluar daripada rumah sebelum mengisi borang pengesahan lafaz cerai pada 9 Oktober 2009.
Bagaimanapun, pada 1 Julai lalu, Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membuat keputusan bahawa pasangan tersebut masih suami isteri selepas Shahrin gagal untuk membuktikan lafaz cerai itu dan memerintahkan mereka untuk menjelaskan kos mahkamah.
Pada 22 Januari lalu, iaitu semasa prosiding pengesahan lafaz cerai sedang berjalan, finalis rancangan realiti The Amazing Race Asia itu menerusi Akbardin memaklumkan bahawa dia bersetuju untuk diceraikan secara baik.
Pada 21 Jun tahun lalu, Ida Nerina telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat terjatuh ketika berada di rumah.
Kemalangan itu berlaku ketika dia menaiki tangga di ruang tamu rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi.
Dia juga difahamkan turut menjalani rawatan kesihatan di India.

Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger