Latest Post :
Home » , , , , » Filem 'BUNOHAN' Bakal Cetus Fenomena

Filem 'BUNOHAN' Bakal Cetus Fenomena

{[['']]}


Biarpun hanya akan muncul di pawagam 8 Mac ini, filem arahan Dain Said berjudul Bunohan sudah pun menjadi buah mulut orang ramai.
Sewaktu tayangan perdananya Rabu lalu, ramai sungguh penggiat seni hadir dan memuji filem yang mengangkat kisah tiga adik-beradik lelaki ini.

Di laman Twitter dan Facebook, Bunohan adalah topik yang hangat diperkatakan kini.

Bukan saja jalan cerita dan sudut pengarahannya menerima pujian melambung, malah lakonan pelakon utamanya iaitu Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim juga keluar dari kepompong biasa.

Selain mereka bertiga, barisan pelakon lain terlibat tidak kurang hebatnya seperti Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Jimmy Lor.

Sesuatu yang istimewa mengenai filem bergenre drama aksi ini ialah kesemua pelakonnya adalah lelaki dan satu-satunya watak perempuan ditampilkan ialah Mek Yah lakonan peragawati terkenal, Tengku Azura.




Kejayaan di luar negara

Tak dapat dinafikan, salah satu faktor membuatkan Bunohan ditunggu-tunggu kerana filem ini terlebih dahulu meraih perhatian di festival filem luar negara.

Sebagai wakil Malaysia, Bunohan telah ditayangkan kepada masyarakat antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Toronto, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam dan Festival Filem Antarabangsa Palm Springs.

Lebih membanggakan, Bunohan turut merangkul Anugerah NETPAC di Festival Filem Taipei Golden Horse yang diberikan bagi menggalakkan pengkarya filem Asia mengetengahkan karya luar biasa.

Kemenangan Bunohan bertepatan dengan kriteria filem ini yang menggunakan cara paling kreatif dan unik di samping menggunakan bahasa sinematik dan menangani pelbagai isu kontemporari Asia.

Selepas ini, pastinya Bunohan akan dikenali di seluruh dunia apabila Universal Pictures bersetuju untuk mengedarkan filem ini di beberapa negara luar termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.


Sokongan penonton tempatan

Sebagai pengarah, tiada yang lebih diharapkan Dain melainkan agar Bunohan diterima baik oleh peminat filem tempatan.

Maklumlah, filem ini mungkin sudah berjaya di luar negara tetapi tiada gunanya jika peminat negara sendiri tidak menyokong. Lebih-lebih lagi filem pertama arahan Dain, Dukun tidak dapat ditayangkan di negara ini atas beberapa faktor.

Sekiranya Bunohan mendapat sambutan hebat, sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan Dain dan peminat yang ternanti-nanti tayangan Dukun.

Zass percaya, ‘kuasa’ cerita dari mulut ke mulut tentang kehebatan Bunohan pasti akan membantu untuk menarik penonton menyerbu panggung.



OLEH: SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger