{[['']]}
PETALING JAYA: Bakal suami kepada pelakon Anne Ngasri iaitu Mohd Sumali Reduan menganggap perkahwinan kedua mereka yang bakal berlangsung pada Disember depan adalah satu titik kebahagiaan selepas kedua-duanya pernah mengalami kegagalan rumah tangga.
Sumali, 40, yang juga Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno berkata, menerusi perkahwinan itu nanti mereka dapat memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan pada perkahwinan pertama masing-masing supaya dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
"Kami berdua sangat serius dengan hubungan ini kerana ingin mencari kebahagiaan dan berharap dengan pengalaman lalu dapat mengajar kami untuk membentuk sebuah keluarga bahagia.
"Kami saling melengkapi dan pertemuan setahun lalu telah ditentukan dan saya yakin dia adalah pilihan terbaik," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.
Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, dan Sumali telah bertunang di kediaman keluarga Anne di Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu.
Majlis tersebut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak.
Pasangan itu menetapkan tarikh 22 Disember depan dan bersepakat untuk bernikah di rumah keluarga lelaki di Pontian, Johor.
Sumali yang telah bercerai pada tahun 2010 mempunyai seorang anak lelaki, Suffian Hakim yang berusia tujuh tahun.
Sumali memberitahu keserasian dan sikap tanggungjawab Anne telah membuatkan dia terpaut hati dengan wanita itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keistimewaan Anne, Sumali berkata, persamaan dan keserasian mereka berdua telah membuatkan beliau berasa selesa dan yakin bakal isterinya itu dapat membahagiakannya.
Sumali memberitahu, ketabahan dan tanggungjawab wanita itu dalam membesarkan tiga anaknya iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, turut membuatkan dia yakin Anne adalah pilihan tepat sebagai calon isteri.
"Saya yakin Anne boleh menyayangi anak tunggal saya seperti mana dia menyayangi tiga anaknya dan saya sangat terharu melihat kesungguhan dan sikap tanggungjawabnya dalam membesarkan anak-anaknya," katanya.
Malah kata Sumali, dia sudah bersedia untuk bergelar suami kepada seorang pelakon terkenal dan menganggap permainan dunia hiburan itu dapat dilaluinya dengan baik selepas ini.
"Bukan orang politik dan artis sahaja akan ditimpa masalah malah orang biasa pun akan melaluinya. Bagi saya itu bukan persoalan besar kerana pernah melalui pelbagai rintangan dalam hidup dan apa yang penting masyarakat mendoakan yang baik-baik untuk Anne dan saya," ujarnya.
Sementara itu, Anne ketika dihubungi berkata, perkahwinan kali kedua ini bukan kerana terdesak namun percaya dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Malah kata Anne, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Sumali dan mengharapkan semua pihak mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
"Kalau saya terdesak sejak bercerai kali pertama dulu saya boleh kahwin tetapi ini soal jodoh dan saya menerima dengan hati terbuka.
"Saya mohon semua pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami selepas ini," jelasnya.
Anne memberitahu, dia kini sedang sibuk dengan persiapan perkahwinannya yang akan dibuat secara sederhana tetapi meriah.
Anne disahkan bercerai dengan Abdul Wafi Hassan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dekat sini pada 25 Jun 2010. Mereka berkahwin pada 26 Mei 2006.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
FOTO IHSAN Hazelnart studio (Natrah Md Jan).
Post a Comment