{[['']]}
KUALA LUMPUR – Pastinya ramai yang menantikan kelibat Leuniey iaitu bakal isteri kepada penjaga gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi atau Apex yang akan menyarungkan tiga persalinan berbeza rekaan pereka fesyen Ezuwan Ismail.
Meskipun tarikhnya masih lagi dirahsiakan oleh pasangan ini, namun Ezuwan Ismail nampaknya sudah berani berkongsi cerita berkenaan tiga persalinan berbeza konsep yang akan diadakan di tiga lokasi berbeza.
Dihubungi portal murai.com.my sebentar tadi, Ezuwan Ismail berkata dia akan menyiapkan persalinan untuk acara akad nikah dan juga dua majlis resepsi buat kedua-dua bakal mempelai berkenaan bagi menyemarakan lagi hari bahagia mereka berdua.
Apa yang menarik untuk majlis resepsi di Kuala Lumpur kelak, Leuniey bakal menggayakan gaun putih daripada fabrik lace sarat berperincian dan bakal dimeriahkan dengan kehadiran lebih 3,000 butiran batu mutiara putih suci.
Malah bagi melengkapkan tema English Modern bagi resepsi berkenaan, si putera idaman Apex akan turut bergaya dengan sut serba putih bersama vest di dalamnya serta disegakkan bersama-sama tali leher runcing.
“Itu untuk majlis resepsi di Kuala Lumpur. Manakala resepsi di kediaman Leuniey nanti saya akan menyiapkan gaun berkonsepkan Melayu tradisional yang menggunakan fabrik songket dari skin colour dan sekali lagi lace sebagai taruhan.
“Manakala untuk majlis akad nikah nanti, Leuniey memilih untuk menyarungkan persalinan kurung moden daripada warna krim siap dengan ekor di belakang kain. Begitu pula Apex yang memilih fabrik dutchess satin yang keras untuk baju Melayu cekak musang bagi sesi akad nikah kerana ingin tampak lebih maskulin dan tegap,” katanya berkongsi cerita.
Sebelum ini, Ezuwan Ismail pernah menyiapkan pakaian pengantin bagi persandingan Irma Hasmie, Ana Raffali, Ashraf Muslim dan tidak lama lagi persandingan Anne Ngasri.
Tambah Ezuwan Ismail, proses pemilihan fabrik telah berlaku dua bulan lalu dan sekarang adalah masa dia menyudahkan beberapa persalinan berkenaan sebelum mereka berdua hadir untuk sesi fitting pada penghujung bulan ini.
Tambah pereka fesyen kelahiran Kelantan itu, dia amat terharu apabila diberi kepercayaan untuk menyiapkan pakaian pasangan popular berkenaan meskipun hakikatnya dia baru saja mengenali Apex dan Leuniey beberapa bulan lalu.
“Sebenarnya saya dan Apex bukanlah terlalu rapat. Kami mula mengenali satu sama lain ketika menghadiri majlis pelancaran produk SimplySiti beberapa bulan lalu. Biarpun ada ramai pereka fesyen yang ingin menaja perkahwinan mereka berdua, tetapi kata Apex, dia senang dan selesa bekerja sama dengan saya, apatah lagi bila berkomunikasi kami bercakap dalam dialeg Kelantan. Itu yang membuatkan kami mudah bekerja.
“Alhamdulillah. Dalam tempoh dua tahun yang singkat dalam bidang ini, saya bersyukur dengan peluang yang keemasam dan diharap ianya akan dapat melebarkan lagi sayap saya sebagai seorang pereka fesyen,” katanya.
Post a Comment