Latest Post :
Home » , , , , » Penyanyi Aman Shah Didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat

Penyanyi Aman Shah Didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat

{[['']]}


PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Aman Shah dihukum denda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak, tahun lalu.
Aman Shah popular dengan lagu 'Kepulangan Yang Dinanti' dan 'Adikku Pandai Menari'.
Turut mengaku bersalah ialah wanita terbabit, Rohana Awang yang juga dihukum denda RM3,000 bagi kesalahan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abu Zaky Mohammad semasa menjatuhkan hukuman pada Rabu, mengarahkan supaya pasangan terbabit menjalani hukuman penjara selama tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Pada penghakimannya, Abu Zaky berkata, Aman Shah sepatutnya menjaga akhlak dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbuatan sebegitu, yang dapat menyebabkan kerjayanya diragui oleh masyarakat.
“Sepatutnya di penghujung usia, seharusnya kamu memikirkan tentang kematian yang semakin dekat.
“Kamu berdua harus memuhasabahkan diri dan bertaubat serta cuba mengelak daripada berlaku lagi perbuatan sebegini,” katanya.
Beliau juga mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa hukuman bagi kesalahan berzina untuk mereka yang telah berkahwin mengikut hukum syarak ialah direjam sehingga mati.
Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim, 53, dan Rohana, 32, terdahulu mengaku salah berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak atau berkhalwat pada pukul 12.15 tengah malam, 26 September 2010.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah Blok C1, tingkat 2 unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, di sini.
Berdasarkan fakta kes, Aman Shah didakwa telah mengambil masa selama 23 minit untuk membuka pintu selepas kediaman tersebut diserbu oleh peguatkuasa agama.
Sementara itu, dalam rayuan untuk meringankan hukuman ke atas dirinya, Aman memberitahu, dia memohon ampun daripada Allah dan mahkamah.
“Kejadian itu berlaku semasa saya mempunyai masalah. Saya nekad untuk tidak melakukan kesalahan yang sama di masa akan datang,” katanya menambah agar tidak dikenakan hukuman penjara.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Hafiz Idris manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam syarie.
Aman hadir dengan memakai baju T warna hitam berkolar manakala Rohana mengenakan baju dan seluar merah dan berselendang hitam.
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger