Latest Post :
Home » , , » Fouziah Gous Semakin Seksi ??

Fouziah Gous Semakin Seksi ??

{[['']]}


PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous menolak dakwaan terbaru kononnya dia berpenampilan semakin seksi ketika menghadiri beberapa acara hiburan, kebelakangan ini.
Fouziah, 29, berkata sebagai selebriti yang menjadi tatapan umum, dia sentiasa peka dalam menjaga penampilannya.
"Saya masih menjaga penampilan saya khususnya ketika berada di khalayak umum dan majlis-majlis hiburan.
"Saya tidak pernah tampil melampau, mendedahkan tubuh secara keterlaluan atau sengaja berimej seksi seperti yang didakwa," katanya kepada mStar Online.
Ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung perkara itu memandangkan dia dikenali sebagai artis yang menitikberatkan imej sopan sebelum ini, Fouziah berkata dia tidak pernah bersikap hipokrit dan masih menjunjung prinsip itu sehingga kini.
"Bukan mudah untuk menjaga hati banyak pihak. Saya bukan jenis yang seksi dan tidak selesa untuk mendedahkan tubuh saya kepada khalayak dengan sewenangnya.
"Namun, penampilan saya juga perlu disesuaikan atas kehendak kerja ketika muncul di majlis-majlis tertentu dan ia bukan pilihan saya sepenuhnya.
"Saya perlu menghormati pakaian yang diberikan oleh pereka fesyen tetapi saya tetap akan berbincang dengan mereka agar pakaian itu tidak keterlaluan apabila diperagakan," katanya.
Fouziah berkata isu berpenampilan seksi adalah sesuatu yang subjektif dan berbeza pada persepsi setiap individu.
"Apabila saya memperagakan pakaian rekaan pereka fesyen, saya sering meletakkan diri sebagai seorang peragawati dan perlu menghormati rekaan mereka.
"Mungkin atas kealpaan diri, adakalanya saya terlupa status selebriti yang digalas ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat.




"Jika ada yang melihat saya semakin seksi, itu adalah sesuatu yang bukan disengajakan," katanya.
Ketika ditanya mengenai reaksinya berhubung dakwaan berkenaan, Fouziah berkata dia tidak berasa tertekan kerana ia membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap dirinya sebagai figura umum.
"Saya bersyukur dan suka apabila ditegur begini kerana ia menunjukkan orang ramai peka pada imej atau kelakuan saya yang mungkin kurang disenangi.
"Ia adalah peringatan yang baik agar saya sentiasa beringat dan berpada-pada dalam segenap aspek," katanya.
Berkongsi perkembangan terbaru, Fouziah yang baru sahaja terlibat dengan penggambaran filem Kerat 14 arahan Baldev Singh, berkata dia kini sedang membuat persiapan untuk kembali ke lokasi penggambaran drama Trilogi Cinta bagi musim kedua.
"Saya kini sedang sibuk membaca skrip dan melakukan persiapan akhir untuk penggambaran drama Trilogi Cinta 2.
"Untuk musim baru ini, saya perlu buat persiapan lebih pada aspek penghayatan dan lakonan.
"Ia mendapat respons yang baik pada musim lalu, sudah tentu jangkaan penonton akan lebih tinggi pada musim baru ini," katanya yang dijadual memulakan penggambaran drama itu dalam masa terdekat.
Selain Fouziah, drama arahan Amie Maziah itu turut mengekalkan pelakon-pelakon seperti Rosyam Nor dan Amyza Aznan.
Drama sebanyak 40 episod nukilan Sharifah Abu Salem itu akan bersiaran di saluran RTM tidak lama lagi.
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger