Latest Post :
Home » , , , » Filem 'Hantu Kapcai' Sudah Kutip RM3 Juta

Filem 'Hantu Kapcai' Sudah Kutip RM3 Juta

{[['']]}
Filem Hantu Kapcai yang dibintangi Zizan Razak, Remy Ishak dan Fizz Fairuz.

DI sebalik kelembapan jumlah kutipan filem tempatan kebelakangan ini, muncul filem komedi ringan, Hantu Kapcai yang berjaya memecah kebuntuan itu dengan mencatatkan kutipan kasar sebanyak RM3 juta selepas seminggu tayangan di pawagam seluruh negara.

Filem yang mengetengahkan kisah hantu dan mat rempit terbitan KRU Studios itu diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, yang juga merupakan penulis skrip bagi nashkah yang menghimpunkan banyak nama-nama besar dan popular dalam industri perfileman seperti Zizan Razak, Fizz Fairuz, Remy Ishak, Hairul Azreen, Izzue Islam dan Neelofa.

Bercakap mengenai kejayaan filem itu, Ghaz berkata, mungkin formula menggabungkan cerita mengenai hantu dan mat rempit selain ditampilkan elemen komedi menyebabkan filem itu lari daripada kebiasaan filem tempatan yang pernah dihasilkan sebelum ini.


 Ghaz Abu Bakar,Pengarah Filem 'Hantu Kapcai'

“Saya rasa kalau hendak dikatakan mengenai promosi yang dijalankan membantu kutipan filem ini, aktiviti promosi tidaklah dijalankan terlalu awal sangat daripada tarikh tayangannya tetapi saya percaya dengan promosi melalui ‘words of mouth’ itu secara tidak langsung membantu kepada kejayaan filem ini.

“Selain itu, saya rasa faktor pelakon juga memainkan peranan yang penting seperti kita tahu Zizan, Remy, Fizz dan Neelofa mempunyai kelompok peminat mereka tersendiri yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat selain jalan cerita ini yang menyasarkan kepada komuniti budak-budak motor.

“Filem ini juga memberikan kelainan apabila Remy membawakan watak yang lain daripada kebiasannya iaitu watak antagonis tetapi dalam bentuk komedi ringan yang cuba diterapkan melalui garapan filem ini dan mungkin ini menarik minat penonton untuk menontonnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Kejayaan filem itu lebih bermakna apabila ia berjaya mengatasi kutipan filem animasi Hollywood, Hotel Transyvania dan filem terbaru lakonan Bruce Willis, Looper yang ditayangkan serentak bermula 27 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Ghaz baru sahaja menyiapkan proses pengambaran filem kedua arahannya berjudul Token yang dibintangi Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su yang mengetengahkan filem bergenre ‘action drama’.

Selain itu, muzik video arahannya berjudul Pelangi Senja nyanyian Stacy tercalon sebagai finalis menerusi kategori Video Muzik Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke 19 yang bakal diadakan pada 17 November di Stadium Melawati, Shah Alam.

Hantu Kapcai mengisahkan Ajib lakonan Zizan, seorang mat rempit yang kesempitan wang telah terjebak dalam perlumbaan haram dengan musuh ketatnya, Tiger (Remy) demi memenangi wang pertaruhan.

Bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya, Tiger telah melakukan khianat dalam perlumbaan itu sehingga menyebabkan kemalangan ngeri yang mengorbankan nyawa Ajib.

Ajib kini menjadi hantu yang hanya mampu dilihat oleh calon Imam Muda di kampungnya iaitu Ibrahim (Fizz).

OLEH SITI JULIANA MOHD JOHAR
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger