Latest Post :
Home » , , » Kumpulan 'Search' Semakin Tua Semakin Berharga

Kumpulan 'Search' Semakin Tua Semakin Berharga

{[['']]}
 Peminat keluar modal hasilkan edisi terhad MP3 lagu-lagu 'Search'

JIKA sebelum ini ada yang menganggap artis sudah berusia menerima layanan kelas kedua, serta bagai tiada harga dalam industri hiburan berbanding artis luar negara, sila buang tanggapan itu. Hakikatnya, masih ada artis Malaysia yang semakin senior, semakin mewah pula nilai mereka.

Antara artis yang dilihat mempunyai jenama menepati ciri-ciri itu ialah kumpulan yang mempunyai timbunan lagu popular iaitu Search. Bukan suka-suka memberi label terbabit, namun kumpulan ini cukup beruntung kerana mempunyai peminat yang bukan saja menjadikan mereka idola, tetapi sanggup mengeluarkan sejumlah wang semata-mata untuk menghasilkan barangan premium untuk koleksi peribadi peminat tegar kumpulan itu.



Dia melihat kami bukan saja sebagai idola, tetapi sebagai produk yang boleh mendatangkan keuntungan. Saya tidak menyangka dia boleh tampil dengan produk MP3 seperti ini, yang pada pandangan kami cukup ekslusif, khusus untuk 5,000 peminat kerana ia adalah edisi terhad. - Amy, Vokalis Search

Sebagai permulaan, peminat terbabit, Adimus Putra Datuk Mustafa iaitu pemilik Hooray Marketing Sdn Bhd menghasilkan MP3 yang mengandungi 101 lagu kumpulan berkenaan, iaitu daripada album pertama, Cinta Buatan Malaysia, sehinggalah Gothic Malam Edan.

Pada sidang media selepas majlis pelancaran yang diadakan di sebuah kelab di G Tower, Kuala Lumpur semalam, vokalis kumpulan itu, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy memberitahu, projek ini bukanlah yang pertama kerana mereka merancang untuk mengeluarkan pelbagai produk yang nilainya mencecah ribuan ringgit.

“Dia melihat kami bukan saja sebagai idola, tetapi sebagai produk yang boleh mendatangkan keuntungan. Saya sendiri tidak menyangka dia boleh tampil dengan produk MP3 seperti ini, yang pada pandangan kami cukup ekslusif, khusus untuk 5,000 peminat kerana ia adalah edisi terhad.

“Selepas ini kami mempunyai perancangan untuk menghasilkan produk premium yang harganya mencecah ribuan ringgit. Kami yakin produk itu mampu dimiliki kerana peminat Search ketika ini sudah berkemampuan dan kebanyakan mereka berjawatan tinggi,” ujarnya yang enggan mendedahkan bentuk produk mahal itu.

Mengulas penghargaan diberikan itu, Amy melahirkan rasa syukur kerana Search masih mempunyai nilai dan berharga di mata peminat walaupun selepas tiga dekad berada dalam industri, serta terpaksa berdepan dengan saingan ramai bakat baru.

Selain mengandungi lagu popular mereka, gajet yang hanya boleh didapati menerusi laman web http://fenomenasearch.com ini juga menampilkan lagu lama yang dinyanyikan semula oleh Amy dengan caranya tersendiri berjudul Kejoraku Bersatu.

Berita menggembirakan yang turut disampaikan mereka dalam sidang media itu ialah Search juga dalam perancangan mengadakan konsert jelajah Fenomena di Indonesia.

“Kertas kerja semuanya sudah diserahkan dan kami kini menunggu maklum balas daripada penganjur di sana,” kata lelaki berusia 53 tahun ini.

Mengenai hubungan anaknya, Nabila Huda dengan pelakon yang baru saja menggenggam trofi Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 iaitu Johan As’ari, Amy dengan penuh yakin berkata, hubungan yang terjalin itu tidak lebih daripada seorang kawan biasa.

“Melihat cara mereka, saya tahu kedua-duanya hanyalah kawan biasa. Ketika kami bercuti di Jepun baru-baru ini, saya tak bertanyakan secara terperinci kerana saya melihat mereka memang bukan seperti pasangan kekasih. Tapi, jika ditakdirkan mereka bercinta, saya tak kisah dan tiada halangan kerana saya bukanlah seorang bapa yang konservatif,” kata Amy.

Gosip mengatakan Nabila dan Johan berpacaran timbul selepas mereka dipertemukan dalam drama bersiri Pelangi Kasih. Malah kenyataan yang ditulis dalam Twitter kedua-dua belah pihak, yang kedengaran romantis, menguatkan lagi dakwaan pasangan ini memang sedang berkasih.

Oleh: Farihad Shalla Mahmud
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger