Latest Post :
Home » , , » Norshila Amin Terkilan Dengan Sikap Stesen Televisyen Dan Radio

Norshila Amin Terkilan Dengan Sikap Stesen Televisyen Dan Radio

{[['']]}
Wajah terbaru Norshila Amin yang kini tampil bertudung. 

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 80-an, Norshila Amin mengakui berasa kecil hati dan terkilan dengan sikap warga industri hiburan tanah air yang seolah meminggirkan artis-artis lama termasuk dirinya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kad Ucapanmu itu berkata, sejak mengundurkan diri daripada cabang seni pada sekitar 1997 ekoran masalah kegawatan ekonomi, dia berasa seolah dipinggirkan dan jarang mendapat jemputan daripada stesen televisyen atau radio bagi sebarang program nyanyian.

“Saya berasa kecil hati dengan sikap penggiat industri hiburan yang seolah melupakan segelintir besar artis-artis lama termasuk diri saya. Selepas saya berundur diri pada 1997, tiada satu stesen televisyen atau radio pun yang teringat untuk memanggil saya bagi menjayakan persembahan atau jemputan ke program-program hiburan.

“Pada hal, mereka tahu di mana saya menetap dan mempunyai nombor telefon saya. Lagu-lagu retro penyanyi-penyanyi lama ini terus rancak dimainkan di merata stesen tapi mereka tidak teringat pun untuk mencari penyanyi-penyanyinya.

“Kalau ada pun, hanya berapa kerat sangat artis-artis lama yang masih aktif muncul dan menghiasi acara-acara hiburan. Yang selebihnya, terus terpinggir,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, kerinduan terhadap bidang nyanyian tidak pernah lenyap walaupun selepas kira-kira 15 tahun menyepi sebagai penyanyi rakaman.

“Saya masih aktif menyanyi jika ada undangan nyanyian di majlis-majlis korporat, cuma sudah lama tidak muncul di kaca televisyen atau media sahaja.

“Keutamaan kini tentunya pada urusan keluarga tetapi minat terhadap nyanyian tidak pernah pudar. Saya memang rindu untuk kembali menyanyi tetapi buat masa ini masih tiada lagu baru,” katanya yang kali terakhir muncul dengan album komersial pada 1995.

Norshila, 48, yang kini tampil bertudung sejak dua bulan lalu berkata, jika ada peluang untuk menghasilkan album dia berhasrat untuk mengeluarkan lagu-lagu berbentuk kerohanian bersesuaian dengan imej muslimah dan status ibu yang digalasnya itu.

“Jika ada peluang atau tawaran untuk buat album, mengapa tidak? Saya masih suka menyanyi cuma kini lebih cenderung kepada lagu-lagu kerohanian.

“Dalam senario gejala sosial dan akhlak remaja yang makin merosot pada hari ini, sebagai penghibur, saya berasa bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej yang baik menerusi lagu-lagu,” katanya yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Oleh WAHIDUZZAMAN
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger