{[['']]}
PONTIAN: Pelakon Anne Ngasri, 28, dan pasangannya, Mohd Sumali Reduan, 40, akhirnya telah selamat dinikahkan di rumah keluarga pihak lelaki di Kampung Sungai Pinang, Pontian, Johor.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh Ustaz Abdul Mutalib Abdul Rahim berwakil wali bapa pengantin, Ngasri Sain dengan mas kahwin RM 22.50 pada pukul 11 pagi Sabtu.
Anne yang mengenakan busana rona krim berkata, dia berharap perkahwinan kali kedua itu dapat berkekalan dan berdoa agar cabaran dan dugaan yang bakal diterima boleh diatasi dengan baik.
"Sudah setahun perkenalan kami. Moga-moga perkahwinan ini dapat berkekalan hingga akhir hayat, InsyaAllah," katanya selepas majlis akad nikah tersebut.
Sumali pula berkata, dia bersyukur kerana memiliki Anne yang mempunyai banyak persamaan karakter dengannya dan paling penting, anak tunggal lelaki itu serta tiga anak Anne serasi untuk hidup bersama.
"Sebenarnya banyak persamaan di antara kami dan saya harap ia dapat mengikat kasih kami sehingga akhir hayat.
"Dalam pada itu, saya juga tidak akan menghalang Anne untuk melakukan aktiviti-aktiviti lakonannya seperti biasa," ujarnya.
Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri turut menerima wang hantaran sebanyak RM11,111 serta lima buah dulang hantaran iaitu seutas beg tangan Burberry, set wangian Chloe, jam tangan Cerruti 1881, seutas gelang emas, dan sepersalinan baju.
Sumali yang juga merupakan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda UMNO menerima berupa set wangian Bvlgari, jam tangan enama Cerruti 1881, sepersalinan baju dan sebentuk cincin.
Pada majlis tersebut, lebih 100 tetamu jemputan telah hadir. Mereka turut menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ahli parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.
Pasangan tersebut akan mengadakan majlis persandingan pada hari esok (Ahad) di kediaman pihak lelaki.
OLEH MOHD FARHAAN SHAH
Post a Comment