Latest Post :

Rita Rudaini Tetap Saman Suami

{[['']]}
RITA RUDAINI bersama dua orang anaknya lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.

"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.

"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.

Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).

Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.

"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.

"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.

Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.

"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.

Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."

Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.

"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.

Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger