{[['']]}
Zarina Anjoulie
PETALING JAYA: Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 27, atau lebih dikenali sebagai Zarina Anjoulie dijamin adik perempuan tirinya pada Jumaat selepas dua hari berada dalam Penjara Kajang.
Pelakon berkenaan yang dijamin adik tirinya itu keluar dari bilik lokap kompleks mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi dan kelihatan tenang, memakai baju-T warna kelabu dan bercermin mata gelap.
Zarina bersama rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di sini Rabu lepas memiliki dua biji pil Eramin 5 anggaran seberat 0.6 gram, di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, pukul 5.30 petang pada 30 Disember lalu.
Kedua-duanya pelajar sebuah kolej swasta itu, dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh, yang mengaku tidak bersalah, dijamin RM2,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Februari depan.
Hanya Mohamad Fakhruzaim dapat mengemukakan penjamin manakala Zarina Anjoulie terpaksa dihantar ke penjara kerana tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjaminnya.
Nazri memerintahkan kedua-dua tertuduh hanya boleh dijamin oleh ahli keluarga sahaja. - BERNAMA
Post a Comment